JANUARI 2024

Rakyat Perlu Rujuk JTS Status Pemilik Tanah


KUCHING: Rakyat disaran sentiasa merujuk Jabatan Tanah Dan Survei (JTS) dalam pembelian tanah mengenai status pemilikan tanah bagi mengelak ditipu.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menegaskan, Sarawak kini menghadapi masalah apabila terdapat rakyat yang ditipu pihak tidak bertanggungjawab mengenai pembelian tanah yang merupakan tanah milik kerajaan. 

Jelasnya, ada individu tidak bertanggungjawab menipu pembeli dengan mendakwa tanah milik kerajaan milik mereka dan menjualnya kepada pembeli.

"Pembeli pula kebanyakan tidak tahu latar belakang mengenai tanah tersebut maka, mereka akan beli tanah itu pada harga murah tanpa mengetahui tanah tersebut merupakan hak milik kerajaan," katanya selepas mengadakan lawatan ke tapak Perumahan Sungai Bedaun di sini hari ini. 

Jelas beliau, kerajaan terpaksa menghalau mereka keluar daripada tanah tersebut disebabkan pemilikan tanah yang tidak sah akibat pelakuan individu yang tidak bertanggungjawab.

“Saya nak tegaskan supaya tidak terpedaya dengan orang yang tidak bertanggungjawab ini. Kita pun nak memberitahu rakyat supaya berhati-hati kalau nak membeli tanah supaya sentiasa merujuk kepada Jabatan Tanah dan Survei (JTS),” katanya.

Selain itu, beliau juga menggesa penghulu dan ketua masyarakat supaya melihat sendiri tuntutan pemilikan tanah yang berlaku di kawasan mereka dan sentiasa bekerjasama dengan JTS.

GAMBAR: JABATAN PREMIER SARAWAK

Sumber dari : Jiwa Bakti